
Rabecca, Nor Azam buat tiga majlis berbeza bagi meraikan keluarga, rakan
MALAM tadi, pasangan pengantin baru, Rabecca Nur Al-Islam dan suaminya, Nor Azam Sulaiman mengadakan majlis resepsi pernikahannya di puncak Menara Kuala Lumpur. Malam kelmarin, pasangan ini juga diraikan dalam satu majlis yang cukup meriah di Hotel Flamingo, Ampang atas tujuan yang sama.
Bagaimanapun, si empunya diri agak kurang selesa apabila kemewahan majlisnya itu menjadi bahan bualan.
"Tujuan saya mengadakan majlis selama tiga hari tiga malam berturut-turut ini bukanlah kerana mahu menunjuk-nunjuk atau nak beritahu orang ramai bahawa saya banyak duit. Itu tidak benar sama sekali! Kami memilih untuk berbuat demikian kerana saya mahu meraikan hari bersejarah saya ini bersama insan yang tersayang.
"Untuk majlis pernikahan ini, ia adalah untuk meraikan keluarga terdekat kedua-dua belah pihak. Sebelah siang tadi, kami adakah majlis tahlil diikuti dengan khatam al-Quran. Majlis malam esok di Grand Ballroom, Hotel Flamingo pula khusus untuk rakan artis, serta pihak media yang selama ini memberi sokongan terhadap kerjaya seni saya.
"Manakala untuk majlis resepsi di Menara Kuala Lumpur, ia untuk mereka yang dekat dengan kami seperti keluarga dan juga rakan sekerja suami. Kami mahu semua pihak yang mengenali kami, jauh dan dekat dapat sama-sama meraikan hari bahagia kami ini," jelas Rabecca ketika ditemui sejurus selepas majlis pernikahan berakhir.
Rabecca yang dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai, Rujuk Masjid Al-Ridhuan Hulu Klang, Muhammad Ibrahim, menerima mas kahwin RM333.33 serta 13 dulang hantaran dibalas 15, manakala jumlah hantaran dirahsiakan atas permintaan pihak lelaki.
Memandangkan tiada majlis pertunangan diadakan sebelum ini, setengah jam sebelum lafaz ijab dan kabul disempurnakan, Rabecca sempat juga merasai nikmat bergelar tunang apabila ibu pengantin lelaki, Datin Norlia Marzuki, menyarungkan cincin pertunangan di jari manisnya.
Tampil anggun mengenakan persalinan rekaan Calvin Thoo, rona bahagia jelas terpancar pada wajah wanita berusia 24 tahun ini. Senyuman manis yang sentiasa terukir di bibir seolah-olah menterjemah bahawa keputusannya untuk menamatkan zaman solo bersama Nor Azam cukup tepat walaupun mengetahui status lelaki yang berasal dari Sarawak itu ialah duda beranak dua.
"Saya memang bersedia untuk menjadi isteri. Soal dia sudah ada anak, itu bukanlah masalah buat saya kerana saya juga ada memelihara seorang anak angkat, Nor Adam Daniel. Memang saya sukakan kanak-kanak.
"Dan alhamdulillah, anak-anak suami juga dapat menerima saya dengan baik. Cuma dalam soal mendidik anak-anak, saya sangat tegas dengan mereka manakala Azam lebih memanjakan mereka," kata Rabecca yang mengakui terpikat dengan Nor Azam kerana sifat kebapaan yang dimiliki lelaki itu.
Bersikap terbuka soal kontroversi
BUKAN mudah apabila beristerikan seorang selebriti, lebih-lebih lagi apabila si suami bukan dari cabang kerjaya yang sama. Banyak duri dan ranjaunya. Malah andai tidak diiringi dengan sifat sabar, pasti berlaku sesuatu yang tidak diingini dalam rumah tangga.
Memilih Rabecca sebagai suri dalam hidupnya, Nor Azam turut ditanya bagaimanakah dia berdepan dengan pelbagai gosip yang pernah dilemparkan pada isterinya sebelum ini, terutama apabila soal imej seksinya dipersoalkan khalayak.
"Bagi saya, biarlah saja Rabecca yang menjadi perhatian kerana dialah artis, bukannya saya. Biarlah saya menjalani kehidupan sendiri, lebih low profile.
"Soal keseksian yang sering diperkatakan, secara jujurnya saya tak anggap dia seksi," ujar lelaki berusia 42 tahun ini sambil mengukir senyuman manis.
Sambil mengakui terpikat dengan kecantikan yang dimiliki pelakon itu, Nor Azam juga menegaskan yang dia tidak akan menghalang Rabecca daripada meneruskan kerjayanya dalam bidang lakonan kerana amat memahami minat dan kehendak wanita yang amat dicintainya itu.

